Berbahasa
mengikut nahunya
Berbahasa
mengikut nahu yang betul sangat penting. Penggunaan nahu yang betul dapat
membantu maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya. Nahu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
bermaksud cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan sintaksis, morfologi dan
sebagainya. Ia juga dikenali sebagai tatabahasa. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), tatabahasa merupakan
peraturan atau sistem sesuatu bahasa, iaitu cara sesuatu bahasa itu digunakan
sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan.
Ahmad
Khair Mohd Nor (2012) menyatakan bahawa tatabahasa terdiri daripada dua
komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis. Dalam hierarki tatabahasa, ayat
merupakan unsur bahasa yang paling tinggi, manakala morfem pula unsur bahasa
yang paling kecil. Rajah dibawah menunjukkan unsur bahasa dalam hierarki
tatabahasa:
Ayat
|
Sintaksis
|
Klausa
|
|
Frasa
|
|
Kata
|
Morfologi
|
Morfem
|
Menurut
Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya dalam buku Karya Agung Melayu BMS3022 (2014) pula, sistem nahu merangkumi
aspek tatabahasa, morfologi, sintaksis dan semantik. Sistem nahu ini penting
dalam proses komunikasi atau berbahasa. Sekiranya kita menggunakan nahu yang
betul dalam berbahasa, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan
dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.
Berbahasa
untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar
Prinsip ini sangat menekankan aspek kebenaran dan
ketepatan dalam berbahasa. Seseorang pengarang atau penutur perlu memastikan
maklumat atau fakta yang diutarakan adalah betul dan benar. Hal ini demikian
kerana fakta atau maklumat yang tidak tepat akan memberi kesan buruk kepada
manusia. Fitnah boleh sahaja berlaku dalam berbahasa akibat daripada maklumat
yang tidak tepat. Menurut Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya
(2014), pemikiran seseorang tidak boleh berlandaskan kepercayaan dan emosi
semata – mata, tetapi harus disampaikan berdasarkan penaakulan yang tepat dan
sahih. Maklumat yang diperoleh perlulah diambil daripada sumber – sumber yang
boleh dipercayai. Hal ini bertujuan agar maklumat yang diberikan tidak
bercanggah dengan fakta yang sebenarnya. Agama Islam juga menitikberatkan
kebenaran sesuatu maklumat. Firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md
Idris (2014) yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah
perkataan yang benar.”
(Surah Al-Ahzab 33:70)
1.2.1
Maklumat
yang betul
Sesuatu
maklumat yang ingin disampaikan hendaklah terdiri fakta. Pengarang atau penutur
hendaklah mengelakkan maklumat yang berunsurkan andaian semata – mata.
Contohnya:
“Demikian itu jualah cucu Nabi
Allah Sulaiman, (‘alaihissalam). Jatuh ke tanah Bugis itu. Fa al – hasil tiap –
tiap perkerjaan yang tiada kita dapat akan hakikatnya janganlah kita dustakan,
hendaklah kita taslimkan, kerana dalilnya berdiri.”
(Tuhfat Al – Nafis: 25)
1.2.2
Maklumat
yang benar
Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya
(2014) menyatakan bahawa Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya
berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata. Seseorang itu
hendaklah menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh
dipercayai. Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat
tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari
melakukan fitnah.
Tambah mereka lagi, karya
sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah
pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai
atau sebaliknya. Karya agung Tuhfat Al – Nafis boleh diyakini
kebenarannya. Hal ini demikian kerana para sarjana barat turut mengangkat karya
ini sebagai sebuah karya yang penting. Buktinya, R.O Winstedt (1958) menyatakan
bahawa Tuhfat Al – Nafis merupakan karya sastera yang paling penting sesudah
Sejarah Melayu. Ia menceritakan salasilah raja – raja Melayu, Bugis, Siak dan
Johor sehingga Singapura didirikan oleh Raffles. Semua peristiwa yang dicatat
diberikan tarikh yang tepat.
“Syahadan
adapun baginda itu duduklah ia membuat negeri di Melaka. Adalah lama
kerajaannya di Singapura kira – kira tiga puluh tahun kerajaannya di Melaka
kira – kira tiga tahun demikianlah kata ahli al – tawarikh. Syahadan adalah
kerajaan raja Melayu di Singapura itu, iaitu lima keturunan.”
(Tuhfat Al – Nafis: 7)
Berbahasa
untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah.
Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang
berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa
untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan
berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Jelas bahawa berbahasa
yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan
salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan
bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan
pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan
manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari
dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap
keempat-empat jenis komunikasi tersebut.
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang
istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada
mereka. Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan
Allah S.W.T. Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang
mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses
berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
- Falsafah Keislaman (Ibadat & Tauhid) Dalam Tuhfat Al-Nahfis
Ramai
ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara
melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam
di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi
telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau
ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di
kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara
barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus.
Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa
orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini
bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.
Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja
Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman sekaligus menunjukkan
sifat atau rasa dalam beribadat demi mentauhidkan keesaan Allah terutamanya
dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam
sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan
pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada
ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang
pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah
ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya
telah dikhatankan. Hal ini jelas menunjukkan, Islam adalah agama yang bersih
dan suci untuk diaplikasikan dalam perlakuan ibadat seperi solat. Situasi Raja
Kecil Besar yang telah dikhatankan menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang
menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian untuk kelangsungan ibadat
yang sempruna. Apatah lagi, dalam rangkap contoh di bawah ini, ada menunjukkan
bahawa Raja Kecil Besar telah melafazkan duya kalimah syahadah dalam mimpinya
yang mana ia menjadi syarat utama sebagai seorang muslim.
“Syahadan apabila mangkatlah Raja
Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan
apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang
bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil
lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama
Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi
wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan
mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa
asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya,
dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”
(Tuhfat
al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga,
pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti
dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang
dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah
digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka.
Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan
pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:
“Maka pada pagi hari ia berangkat
ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang
di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun
menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik
ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam
kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang
besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun
bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”
(Tuhfat al-Nafis,
1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada
pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya
tersebar luas. Hal ini dijelaskan dengan lebih tepat bahawa pengabdian diri
sebagai seorang hamba Allah ditunjukkan melalui perlakuan solat lima waktu
iaitu termasuk dalam ibadah utama dalam Islam. Pembaca juga dapat mengetahui
bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana
dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat
dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu
melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh
yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras
golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan
Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau,
iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu
kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.
“…maka datang seorang lebai orang
Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang
alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu
hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat,
hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku
dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”
(Tuhfat
al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud
tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai
negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud,
iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.
“…datanglah segala pegawai-pegawai
negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang
Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya
ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka
lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di
situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang
sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda
mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut
dengan mengadakan perancangan yang strategik.
“Maka sampailah khabar itu kepada
Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka
lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja
Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan
yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan
hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.
“Maka apabila hampir ke darat maka
ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan
didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya
dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang
tersebut itui intiha.”
(Tuhfat
al-Nafis, 1982: 263)
Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu
telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan
agama. Pentauhidan kepada Allah melalui kalimah syahadah adalah perkara yang
amat dititikberatkan oleh golongan pemerintah pada masa itu bagi menunjukkan
keesaan Allah. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda
berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang
diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara
yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri
Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di
tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu
menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.
No comments:
Post a Comment