VVIP :)

Pensyarah Karya Agung

Pensyarah Karya Agung
Terima kasih diucapkan kepada Dr Mohd Rashid Bin Idris atas segala nasihat dan tunjuk ajar dalam subjek ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa baik Dr .

Cikgu Ummi

Cikgu Ummi
Ummi Amirah Bt Alias (D20111047478)

Cikgu Wani

Cikgu Wani
Nur Syazwani BT Che Aziz (D20111047488)

Cikgu Linda

Cikgu Linda
Nurhaslinda Bt Salleh (D20111047508)

Cikgu Deel

Cikgu Deel
Fadilah Bt Hashim (D20111047532)

Pendapat Anda Tentang Blog Kami ?

17.4.14

HIKAYAT HANG TUAH

Hikayat Hang Tuah (HHT) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Kassim Ahmad. HHT sebuah karya epik yang berbentuk prosa yang mengandungi lebih daripada 500 halaman dengan lebih kurang 164,000 patah-perkataan. HHT ini telah dihasilkan pada akhir kurun ke-17. Karya ini juga disebut Valentijin Kitab Hantoewa menurut Francois Valentijin dalam karyanya Oud en Nieuw Oost-Indien (1728). Tambahnya lagi, karya ini biasanya dinamakan oleh Sarjana Melayu Sulatas-Salatin iaitu Sultan-Sultan Melaka.

HHT merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah menegemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambing kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad (1992: xvi) kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh Hang Tuah. Ini bermaksud, apabila Hang Tuah kecil Melaka baharu didirikan. Apabila Melaka besar dialah menjadi orang kanan bersama Bendahara, di dalam urusan pentadbiran dan di dalam urusan keselamatan di dalam negeri suaranya muktamad. Apabila ia jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila ia berundur dari perkhidmatan negara. Tidak lain, Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Di dalam hidupnya tercatat riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan bangsa Melayu dalam zaman Feudel yang sudah lampau. Selain daripada itu, watak Hang Tuah sebagai pahlawan yang taat setia kepada raja yang sanggup menyelami mahkota dan keris raja yang jatuh ke dalam laut.


Sumber :
http://tunassasterahangtuah.wordpress.com/sinopsis/

16.4.14

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.


Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.
Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. 

Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.

Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.

Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. 

Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa


Sumber :
http://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html

15.4.14

KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM TUHFAT AL-NAFIS


Berbahasa mengikut nahunya
Berbahasa mengikut nahu yang betul sangat penting. Penggunaan nahu yang betul dapat membantu maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya. Nahu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) bermaksud cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan sintaksis, morfologi dan sebagainya. Ia juga dikenali sebagai tatabahasa. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), tatabahasa merupakan peraturan atau sistem sesuatu bahasa, iaitu cara sesuatu bahasa itu digunakan sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan.
Ahmad Khair Mohd Nor (2012) menyatakan bahawa tatabahasa terdiri daripada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis. Dalam hierarki tatabahasa, ayat merupakan unsur bahasa yang paling tinggi, manakala morfem pula unsur bahasa yang paling kecil. Rajah dibawah menunjukkan unsur bahasa dalam hierarki tatabahasa:
Ayat

Sintaksis
Klausa
Frasa
Kata
Morfologi
Morfem

Menurut Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya dalam buku Karya Agung Melayu BMS3022 (2014) pula, sistem nahu merangkumi aspek tatabahasa, morfologi, sintaksis dan semantik. Sistem nahu ini penting dalam proses komunikasi atau berbahasa. Sekiranya kita menggunakan nahu yang betul dalam berbahasa, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.

Berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar
Prinsip ini sangat menekankan aspek kebenaran dan ketepatan dalam berbahasa. Seseorang pengarang atau penutur perlu memastikan maklumat atau fakta yang diutarakan adalah betul dan benar. Hal ini demikian kerana fakta atau maklumat yang tidak tepat akan memberi kesan buruk kepada manusia. Fitnah boleh sahaja berlaku dalam berbahasa akibat daripada maklumat yang tidak tepat. Menurut Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya (2014), pemikiran seseorang tidak boleh berlandaskan kepercayaan dan emosi semata – mata, tetapi harus disampaikan berdasarkan penaakulan yang tepat dan sahih. Maklumat yang diperoleh perlulah diambil daripada sumber – sumber yang boleh dipercayai. Hal ini bertujuan agar maklumat yang diberikan tidak bercanggah dengan fakta yang sebenarnya. Agama Islam juga menitikberatkan kebenaran sesuatu maklumat. Firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2014) yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
                          (Surah Al-Ahzab 33:70)
1.2.1        Maklumat yang betul
Sesuatu maklumat yang ingin disampaikan hendaklah terdiri fakta. Pengarang atau penutur hendaklah mengelakkan maklumat yang berunsurkan andaian semata – mata. Contohnya:
“Demikian itu jualah cucu Nabi Allah Sulaiman, (‘alaihissalam). Jatuh ke tanah Bugis itu. Fa al – hasil tiap – tiap perkerjaan yang tiada kita dapat akan hakikatnya janganlah kita dustakan, hendaklah kita taslimkan, kerana dalilnya berdiri.”
(Tuhfat Al – Nafis: 25)



1.2.2        Maklumat yang benar
Mohd Rashid, Abdul Rahman dan Seri Lanang Jaya (2014) menyatakan bahawa Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata.  Seseorang itu hendaklah menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai.  Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan fitnah.

          Tambah mereka lagi, karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai atau sebaliknya. Karya agung Tuhfat Al – Nafis boleh diyakini kebenarannya. Hal ini demikian kerana para sarjana barat turut mengangkat karya ini sebagai sebuah karya yang penting. Buktinya, R.O Winstedt (1958) menyatakan bahawa Tuhfat Al – Nafis merupakan karya sastera yang paling penting sesudah Sejarah Melayu. Ia menceritakan salasilah raja – raja Melayu, Bugis, Siak dan Johor sehingga Singapura didirikan oleh Raffles. Semua peristiwa yang dicatat diberikan tarikh yang tepat.

“Syahadan adapun baginda itu duduklah ia membuat negeri di Melaka. Adalah lama kerajaannya di Singapura kira – kira tiga puluh tahun kerajaannya di Melaka kira – kira tiga tahun demikianlah kata ahli al – tawarikh. Syahadan adalah kerajaan raja Melayu di Singapura itu, iaitu lima keturunan.”
(Tuhfat Al – Nafis: 7)

 Berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah.

Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat.  Jelas bahawa berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.

Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut.

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.  Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah S.W.T.  Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.

  •   Falsafah Keislaman (Ibadat & Tauhid) Dalam Tuhfat Al-Nahfis

Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.
Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman sekaligus menunjukkan sifat atau rasa dalam beribadat demi mentauhidkan keesaan Allah terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan. Hal ini jelas menunjukkan, Islam adalah agama yang bersih dan suci untuk diaplikasikan dalam perlakuan ibadat seperi solat. Situasi Raja Kecil Besar yang telah dikhatankan menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian untuk kelangsungan ibadat yang sempruna. Apatah lagi, dalam rangkap contoh di bawah ini, ada menunjukkan bahawa Raja Kecil Besar telah melafazkan duya kalimah syahadah dalam mimpinya yang mana ia menjadi syarat utama sebagai seorang muslim.
“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)

Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:
“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”
                                                                                                                                                                                           (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)

Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Hal ini dijelaskan dengan lebih tepat bahawa pengabdian diri sebagai seorang hamba Allah ditunjukkan melalui perlakuan solat lima waktu iaitu termasuk dalam ibadah utama dalam Islam. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.

“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”
                                                                                                                                                                         (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)

Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.
“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”
                                                                             (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.

“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”
                                                                                                                                                                                                            (Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.

“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”
                                                                             (Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)

Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Pentauhidan kepada Allah melalui kalimah syahadah adalah perkara yang amat dititikberatkan oleh golongan pemerintah pada masa itu bagi menunjukkan keesaan Allah. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut. 

9.4.14

SULALATUS SALATIN

Buku ini mempunyai 15 bab.  Dalam bab permulaan iaitu Bab 1 dan 2, ianya mengenai sejarah asal-usul raja-raja Melayu yang dikatakan  berasal daripada Iskandar Zulkarnain.  Bercampur dengan Puteri Syahrul Bariyah dari Benua Hindi dan Puteri Mahtabul Bahri yang berasal dari negeri Dika, sebuah negeri di dalam laut.

Nila Utama atau Seri Teri Buana telah kahwin dengan Raden Ratna Cendera Puri dari keturunan Raja Palembang telah mengasaskan kerajaan Singapura. Sejarah Singapura di zaman Seri Teri Buana,  Paduka Seri Pikrama Wira, Seri Rakna Wikrama, Paduka Seri Maharaja dan berakhir di zaman Raja Iskandar Syah dibincangkan dalam 3 dan 4.,

Sejarah kerajaan Melaka dibincangan secara panjang lebar mulai bab ke 4 hinggalah bab ke 14. Ianya bermula di zaman Raja Iskandar Syah hinggalah ke zaman Sultan Mahmud, raja Melaka yang terakhir.  Raja-raja Melaka termasuklah Raja Tengah dan Raja Kecil Besar yang telah memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan yang berikutnya ialah Sultan Abu Syahid, Muzaffar Syah, Mansur Syah, Alauddin Riayat Syah dan yang terakhir Sultan Mahmud Syah.

Sultan Mahmud pernah melantik Sultan Ahmad sebagai penggantinya tetapi ianya disuruh bunuh kerana sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar-pembesar tua.  Sultan Mahmud bercadang untuk melantik Raja Muzaffar sebagai Sultan tetapi digantikan oleh Raja Ali anak Tun fatimah. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah. Sultan Mahmud mangkat di Kampar.

Dalam bab 15 , Sejarah Melayu membincangkan tentang kerajaan Melayu di Johor terutama di zaman Sultan Alauddin, Sultan Muzaffar, Sultan Abdul Jalil, Sultan Jalla Abdul Jalil  hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.  Terutamanya tentang usaha mereka menguasai semula Melaka. Pada zaman Sultan Aladdin inilah Tun Seri Lanang dilantik menjadi Bendahara dan dititahkan menyusun buku Sulalatus Salatin ini.


Sumber :
http://gcsasterastpm.blogspot.com/2013/01/kandungan-ringkas-sulalatus-salatin.html


8.4.14

TUHFAT AL-NAFIS

Tuhfat Al-Nafis adalah kumpulan cerita mengenai silsilah raja-raja Melayu, Bugis, Siak, Johor, sampai Singapura beserta riwayat kerajaannya. Menurut R. O. Winstedt, teks ini merupakan karya terpenting dalam serangkaian karangan Melayu yang berbentuk sejarah selain Sejarah Melayu.[2] Secara keseluruhan karya ini masih mirip dengan Salasilah Melayu dan Bugis. Selain itu, Tuhfat Al-Nafis sering digunakan sebagai bahan rujukan bagi penyusunan sejarah Riau dan Johor, serta masalah-masalah lain bangsa Melayu.

Teks Tuhfat Al-Nafis sedikit berbeda dengan teks karya-karya sejarah lainnya. Penulisan teks ini cenderung lebih serius bila dibandingkan dengan karya sejarah yang muncul sebelumnya karena bagian mitos dan legenda hampir-hampir tidak dinyatakan dalan teks ini. Selain itu, dalam teks sastra sejarah biasanya tidak mencantumkan tarikh dan nama pengarang, tetapi dalam Tuhfat Al-Nafis terdapat tarikh tahun dan dapat diketahui siapa pengarangnya. Hal ini disebabkan pengarang abad ke-19 telah berani bertanggung jawab atas karya-karyanya, di antaranya adalah Raja Ali Haji. Raja-raja keturunan Bugis pada masa itu biasa menulis catatan harian sehingga mencantumkan tanggal dan tahun menjadi hal yang biasa  bagi mereka.

Manuskrip Tuhfat Al-Nafis

Pada tahun 1991 telah ditemukan dan dikenal pasti lima buah manuskrip Tuhfat Al-Nafis, yaitu Manuskrip A, B, C, D, dan E.
1.      Manuskrip A terdapat di Koninklijk Instituut voor Taal-land-en Volkenkunde, KITLV or 69 (sebelum ini disebut HS 630), tanpa judul, dengan tarikh asal 17 Rajab 1283, pemiliknya yaitu A. L. Van Hasseld.
2.      Manuskrip B terdapat di Royal Asiatic Society London, tanpa judul, tarikh asal 17 Rajab 1282, pemiliknya adalah Tuan William Edward Maxwell C. M. G.
3.      Manuskrip C berbahasa Jawi, pemiliknya Tengku Fatimah, puteri Sultan Abu Bakar, Johor.
4.      Manuskrip D terdapat di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Sejarah Raja-raja Melayu dan Bugis.
5.      Manuskrip E terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden dengan judul Tuhfat Al-Nafis. Manusrip ini diserahkan kepada Universiti Leiden oleh Dr. A. Rinkes tahun 1954.
Kelima manuskrip di atas terbagi menjadi dua versi, satu berupa versi pendek dan empat lainnya berupa versi panjang. Versi pendek kurang lebih terdiri dari 88000 perkataan, sedangkan versi panjang terdiri dari sekitar 127000 perkataan.
Perbedaan versi pendek dan versi panjang:
1.  Pada versi pendek tidak terdapat salawat dan salam (mukadimah) di awal  cerita.
2.      Versi pendek mengunakan kata-kata yang lebih pendek tanpa sebutan gelar, penegasan kata dan partikel-partikel.
3.      Versi panjang menyebutkan sebuah peristiwa atau objek secara jelas.

Teks versi pendek adalah teks yang dikarang oleh Raja Ahmad (Engku Haji Tua). Teks versi panjang adalah teks pendek yang telah ditulis kembali dan dilengkapi oleh Raja Ali Haji (putra Raja Ahmad). Versi yang lebih panjang mempunyai beberapa hal tambahan mengenai kehidupan Raja Ali dan istrinya di Pulau Pinang, keuzurannya dalam perjalanan ke Juana, dan cerita-cerita tentang pengajaran agama. Penulisan versi pendek diperkirakan selesai pada November 1866 dan penulisannya kembali dimulai saat itu hingga wafatnya Raja Ali.


Sumber : 
http://penjualkenangan.blogspot.com/2010/12/tuhfat-al-nafis-sebagai-sastra-sejarah.html

4.4.14

LATAR BELAKANG I LA GALIGO

Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia.  Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi).  Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.

Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah.  Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.

Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam.  Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.

Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng.  Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama.  Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.

Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi.  Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga.  Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.

Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa.  Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain.  Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib.  Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau.  Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.

Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling.  I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu.  Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri.  Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja.  Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini.




1.4.14

DEFINISI KARYA AGUNG

KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.



Sumber :
Dipetik daripada http://www.yayasankaryawan.com/index.php?option=com_content&task=view&id=6&Itemid=1